Firman Allah SWT dalam Al-Quran.
Dan
sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam
peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit
bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu
kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). [124]
(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang
beriman (untuk menguatkan semangat mereka): Tidakkah cukup bagi kamu,
bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang
diturunkan?. [125] Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar
dan bertakwa dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan
serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang
bertanda masing-masing. [Surah Al-Imran:123-125].
SEBELUM PEPERANGAN
Persaudaraan
orang-orang Islam yang datang dari Makkah dengan orang-orang Islam kota
Madinah, iaitu kaum Muhajirin dan kaum Ansar, begitu baik dan kuat,
seakan-akan mereka semua bersaudara kandung, tolong-menolong dengan
serapat-rapatnya.
Kota Madinah
yang boleh dikatakan kota Yahudi itu, mengalami perubahan besar, dengan
banyaknya orang-orang Yahudi yang masuk Ugama Islam. Hal ini
menimbulkan gerakan anti Islam dikalangan orang-orang Yahudi yang masih
fanatik. Dalam pada itu kaum musyrik Makkah semakin cemas hatinya
melihat kemajuan Ugama Islam di Madinah itu.
Kemarahan
bangsa Yahudi makin bertambah, setelah Allah memerintahkan berkiblat
dari Baitui Maqdis ke Kaabah di Makkah, sekalipun Kaabah sendiri dikala
itu masih penuh dengan berhala. Nabi melayani setiap orang Yahudi dengan
baik dan lemah-lembut. Dengan mereka dibuat perjanjian, dimana
ditetapkan:
- Orang Yahudi dan Orang Islam hendaklah hidup sebagai satu bangsa.
- Masing-masing merdeka menjalankan upacara keagamaan masing-masing dan tidak boleh ganggu-mengganggu.
- Jika salah satu diserang musuh, yang lain akan memberikan bantuannya.
- Bila kota Madinah mendapat serangan, orang-orang Islam dan orang-orang Yahudi harus bersama-sama mempertahankannya.
- Jika antara kedua pihak timbul perselisihan, maka Nabi sendiri yang akan mengadilinya.
Tetapi tak
lama sesudah perjanjian itu ditandatangani, orang-orang Yahudi mulai
melanggarnya dengan mengadakan hasutan untuk mengenyahkan orang-orang
Islam dari Madinah. Gerakan ini bukan gerakan yang boleh dianggap mudah,
tetapi gerakan besar, yang berbahaya sekali terhadap jiwa ummat Islam,
kerana gerakan ini dipimpin oleh seorang Yahudi yang besar pengaruhnya
iaitu Abdullah bin Ubay, yang hampir saja diangkat bangsa Yahudi menjadi
Raja Madinah. Abdullah bin Ubay ini sangat anti terhadap Islam, kerana
dengan tersiarnya Ugama Islam itu, pengaruhnya semakin berkurangan.
Dalam pada
itu, penduduk Makkah sudah bersiap sedia pula untuk menyerang orang
Islam dengan kekuatan yang besar. Kedudukan orang Islam mulai sulit dan
berbahaya sekali.
KEIZINAN UNTUK BERPERANG
Dalam keadaan yang meruncing itu, turun wahyu Allah kepada Nabi yang berbunyi:
Berperanglah
dalam jalan Allah melawan orang-orang yang memerangi kamu, tetapi
jangan melanggar batas, kerana Allah tidak suka kepada orang yang
melanggar batas. Bunuhlah mereka itu dimana saja kamu jumpai dan usirlah
mereka itu sebagaimana mereka telah mengusir kamu. Tetapi ingat pula,
bahawa fitnah adalah lebih berbahaya dari pembunuhan. Tetapi janganlah
kamu berperang di dalam Masjidil Haram (Kaabah), kecuali kalau
diperanginya kamu disana. (Sursh Al-Baqarah 190 – 191)
Selama ini
Nabi dan orang-orang Islam hanya disuruh mundur dan hijrah. Sekarang
diperintahkan Allah untuk berperang, kerana kini mereka sudah cukup
menerima penganiayaan.
Jelas
perintah itu, iaitu perang bukan untuk memaksa orang masuk Ugama Islam,
tetapi adalah semata-mata mempertahankan diri kalau diserang. Kerana
Ugama Islam tidak boleh dipaksakan kepada siapa jua, walaupun kepada
keluarga dan famili Nabi sendiri.
NABI MENYUSUN STRATEGI
Kerana
perintah itu, maka Nabi mulai menyusun tentera mengatur pertahanan dan
perlengkapan. Mula-mula ke dalam kota Makkah diutus Nabi beberapa orang
perisik, untuk mengetahui rencana dan kekuatan musuh, serta untuk
menarik kepala-kepala bangsa Badwi ke pihak Islam.
Pada bulan
Rejab tahun kedua hijrah, Nabi mengutus dua belas orang Muhajirin,
dikepalai Abdullah bin Jahasy keluar kota Madinah; suasana di kala itu
sudah runcing sekali. Kepadanya diberikan sepucuk surat bersampul, Nabi
mengizinkan membuka surat tersebut setelah dua hari dalam perjalanan.
Setelah dua hari dalam perjalanan, lalu surat itu dibuka.
Ternyata
dalamnya satu perintah dari Nabi agar mereka menuju ke Nakhlah, satu
tempat di antara Makkah dan Taif, guna mencari keterangan sebaik-baiknya
tentang gerak-geri orang Makkah (musuh). Hal ini dilakukan bukan untuk
menyerang Makkah, tetapi untuk berjaga-jaga semata-mata.
Disana,
Abdullah bertemu dengan kafilah kecil orang Makkah yang dalam perjalanan
pulang dari Taif. Orang-orang ini diserangnya, seorang mati iaitu ‘Amru
bin Hadhramy dan dua orang lainnya ditawan, yaitu Usman bin Abdullah
dan Hakam bin Kaisan, sedang harta bendanya dirampas. Dalam hal itu
Abdullah telah melanggar perintah Nabi, kerana disaat itu dalam Bulan
Muharam, dimana dilarang menumpahkan darah. Nabi sangat marah kepadanya.
Perang
Badar adalah perang pertama dilalui oleh umat Islam maka ia menjadi
satu catatan sejarah besar yang paling penting untuk diketahui oleh umat
manusia.
QURAISY MAKKAH BERANG
Hal ini
membangkitkan semangat bangsa Quraisy (Makkah), untuk menyerang kaum
Muslimin. Nabi mendapat lapuran, bahawa kafilah bangsa Quraisy yang amat
besar terdiri dari seribu ekor unta dengan segala muatannya, sedang
dalam perjalanan dari Syria menuju Makkah. Untuk mengurangi kekuatan
musuh yang telah siap untuk menyerang itu, Nabi memerintahkan untuk
menahan kafilah itu dan merampas harta dan barang dagangan untuk
dijadikan kekuatan perang. Maksud Nabi ini diketahui oleh Abu Sufyan
yang mengepalai kafilah itu.
Abu Sufyan
segera mengirim utusan ke Makkah minta bantuan tentera sebanyak mungkin,
sedang perjalanan kafilahnya dibelokkan melalui satu tempat yang
bernama Badar, menyusur pantai Lautan Merah. Makkah segera mengirimkan
bantuan yang terdiri dari seribu orang tentera, seratus orang
diantaranya pasukan berkuda dan tujuh ratus orang lainnya pasukan unta,
yang kesemuanya dikepalai oleh Abu Jahal sendiri. Ketika pasukan bantuan
ini bertemu dijalan dengan Abu Sufyan, Abu Sufyan menyuruh pasukan ini
kembali saja ke Makkah. Tetapi Abu Jahal ingin memperlihatkan kekuatan
tenteranya kepada orang Madinah itu.
KEKUATAN TIDAK SEIMBANG
Pasukan
Rasulullah s.a.w. hanya terdiri dari tiga ratus tiga belas orang saja.
Diantaranya hanya dua orang berkenderaan kuda. Tentera yang kecil ini
berangkatlah bersama Rasulullah menuju satu tempat yang dinamai Badar.
Setelah
Rasulullah mengetahui akan kedatangan bantuan Quraisy yang amat besar
jumlahnya itu, Rasulullah bermesyuarat dengan para sahabat beliau. Abu
Bakar dan Umar menasihatkan agar pertempuran diteruskan. Begitu juga
Miqdad bin ‘Amru dari Muhajirin. la berkata kepada Rasulullah:
Teruskanlah
apa yang diperintahkan Allah kepada engkau. Kami tidak akan berkata
seperti apa yang dikatakan Bani Israil dahulu kepada Nabi mereka Musa
a.s. Mereka berkata kepada Musa: Pergilah engkau beserta Tuhan engkau
berperang, sedang kami biarlah duduk saja di sini (menonton). Sebaliknya
kami, akan berkata kepada engkau: Pergilah engkau beserta Tuhan engkau
berperang, dan kami akan bersama engkau bertempur. Demi Allah yang telah
mengutus engkau membawa kebenaran, jika sekiranya engkau memerintahkan
kami berangkat ke Birkil Ghamad (nama suatu tempat yang amat jauh di
Yaman), kami akan memaksa diri kami agar kami sampai ke sana.
Berkata pula Sa’ad bin Mu’az dari golongan Ansar: “
Kami
sudah beriman kepada engkau, kami sudah membenarkan akan engkau dan
mengakui bahawa apa yang engkau bawa kepada kami adalah hak, kami sudah
berjanji akan tunduk dan taat. Maka teruskanlah, ya Rasulullah, dengan
apa yang engkau kehendaki, kami akan selalu bersama engkau. Demi Tuhan
yang telah mengutus engkau dengan hak, sekiranya engkau harus menyelam
lautan itu, kami akan menyelaminya bersama engkau. Tak seorang pun
diantara kami yang akan mundur. Kami tidak takut apa pun yang akan
dilakukan musuh terhadap diri kami, kami adalah orang-orang yang tabah
dalam perang. Mudah-mudahan Allah memperlihatkan kepada engkau apa-apa
yang menyenangkan hati engkau, sehingga kami akan senang pula dengan
berkat dari Allah.
Rasulullah
sangat gembira mendengar ucapan-ucapan yang diucapkan para sahabat itu.
Rasulullah lalu berkata memberikan perintah kepada mereka: “Berangkatlah
dan bergembiralah, Allah sudah menjanjikan kepadaku akan
pertolonganNya, seolah-olah aku melihat tempat-tempat yang menjadi
sumber minum mereka.”
Kaum Quraisy
dan bala bantuannya yang banyak itu dikerah oleh Abu Sufyan, mengambil
kedudukan dilereng jauh ditempat rendah. Sedang Rasulullah memerintahkan
pasukan beliau mengambil tempat dilereng yang dekat ditempat tinggi
dari Wadi Badar.
SAHABAT MEMBERIKAN PENDAPAT
Seorang sahabat bernama Habbab bin Munzir mendatangi Rasulullah dan berkata:
Apakah
kedudukan yang engkau pilih ini menurut perintah (wahyu) dari Allah?
Kalau memang begitu, kita tidak akan beranjak dari kedudukan ini. Tetapi
kalau hanya pendapat Rasulullah sendiri berdasarkan siasat atau
strateji semata, maka saya berpendapat lain. Lebih baik kita mengambil
kedudukan ditempat yang lebih rendah, dekat sumber air yang akan
diperguna-kan oleh musuh-musuh itu. Kita buat tangki-tangki dan kita
gali perigi, lalu kita penuhi dengan air dari sumber itu, kemudian
sumber itu kita timbun dengan tanah. Biar musuh tidak dapat air minuman,
agar mereka menderita dahaga, sedang kita terus bertempur dengan
persediaan air yang banyak itu.
Pendapat
Habbab ini dibenarkan oleh Rasulullah, kerana Rasulullah mengambil
tempat kedudukan yang pertama tadi itu tidak berdasarkan perintah dari
Allah, semata-mata pendapat peribadi beliau sendiri.
Seluruh
pasukan dikerahkan untuk membuat tangki-tangki dan menggali perigi,
mengisinya dengan air sebanyak mungkin, lalu menutup sumber air yang
akan dipergunakan oleh musuh itu. Para sahabat pun membuat sebuah gubuk
untuk Rasulullah, tempat beliau memberikan arahannya.
Berkata Sa’ad al-Anbany:
Ya
Rasulullah, bila Allah memenangkan kita, engkau tetap sajalah digubuk
itu, tetapi bila kami tewas seluruhnya, engkau hendaklah segera
meninggalkan gubuk itu bergabung dengan sahabat-sahabat kita yang masih
hidup, yang kecintaan mereka terhadap engkau tidaklah kurang dari
kecintaan kami.
Rasulullah
amat terharu mendengar ucapan yang demikian itu. Keesokan harinya musuh
yang terdiri lebih dari seribu orang itu mulai menyerang. Melihat
kedatangan musuh yang dengan amat tiba-tiba itu, Rasulullah berdoa:
Allahumma,
ya Allah, kaum Quraisy sudah menyerang dengan sombong dan membanggakan
kekuatan mereka, mereka menentang Engkau dan mendustakan akan Rasul
Engkau. Ya Allah, hanya pertolongan yang pernah Engkau janjikan kepadaku
yang akan dapat mengalahkan dan menghancurkan mereka. Ya Allah,
hancurkanlah mereka.
PERTEMPURAN BERMULA
Tentera
Makkah bukan main marahnya. Dengan segera mereka menyerang dengan
pasukan berkuda terhadap tentera Islam. Dua orang pasukan berkuda musuh
(Quraisy) gugur ke tanah dipanah tentera Islam. Dari tentera musuh maju
ke depan tiga orang pahlawan, iaitu ‘Utbah dan Syaibah (bersaudara)
dengan anak ‘Utbah yang bernama al-Walid. Untuk menghadapi ini, Nabi
memerintahkan tiga orang pahlawan Islam pula, iaitu Ali, Hamzah dan
Ubaidah. Ali dan Hamzah dapat menewaskan musuh sedangkan Ubaidah dan
lawannya masing-masing mendapat luka yang parah dan kerana luka-luka ini
Ubaidah meninggal dunia di atas pangkuan Nabi sendiri.
Kaum Muslimin yang sedikit itu menghadapi lawan yang lebih dari tiga kali ganda banyaknya. Nabi mendoa kepada Allah:
Ya
Allah! Penuhilah janjiMu untuk memberi kemenangan. Kalau ummat yang
kecil ini binasa (kalah), maka akan menanglah agama berhala dan tidak
akan ada lagi orang yang menyembahMu di muka bumi.
Abu Bakarlah
ketika itu orang yang paling sedih dan khuatir melihat ramai dan
kuatnya musuh yang sedang dihadapi oleh tentera Islam. Dengan memegang
kain tutup kepala Nabi, Abu Bakar berkata kepada Nabi:
Ya Nabi Allah, Tuhan tentu akan mengabulkan doamu dan Tuhan tentu menolong kita menghadapi musuh yang ramai ini.
Tiba-tiba Nabi seakan-akan tertegun dalam mendoa. Di kala itu turunlah wahyu Allah yang berbunyi:
Hai
Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua
puluh orang yang sabar diantaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan
dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar
diantaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan seribu dari pada orang
kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti. (Surah Al-Anfal – Ayat 65)
Dengan segera Nabi menghadapkan mukanya kepada tentera Islam yang sudah siap sedia, lalu berkata:
Demi
Tuhan yang memegang jiwa Muhammad, orang-orang yang berperang dengan
sabar dan penuh harapan ganjaran Allah, terus maju dan takkan mundur
setapak, bila dia terbunuh, terus masuk ke dalam Syurga Allah.
Kemudian
diambil Nabi segenggam pasir, lalu dilemparkannya ke arah musuh. Arahan
dan perintah menyerbu sudah diberikan. Kaum Muslimin maju bertempur
dengan keimanan dan keyakinan yang penuh dan kuat, dengan serentak
berteriak: Ahad, Ahad, Ahad.
PERTOLONGAN ALLAH SAMPAI
Dikala itu
angin berhembus dengan kencangnya ke arah tempat musuh. Pasir padang
pasir berterbangan sebagai asap tabir yang amat tebal. Mata pedang mulai
bergerincingan berbunyi ditengah-tengah suara takbir dan derunya angin
ribut.
Kerana angin
berhembus ke arah tentera musuh, maka hal itu sangatlah menguntungkan
pihak ummat Islam yang dipimpin Nabi. Bukan hanya perajurit, tetapi
banyak panglima-panglima tentera musuh, seorang demi seorang tewas di
hujung mata pedang; diantaranya ‘Utbah, Syaibah, al-Walid, Umaiyah bin
Khalaf, Abul Bukhtary, Hamzah anak Abu Sufyan.
Dalam
pertempuran itu pula, Mu’az bin ‘Amru dari golongan ummat Islam telah
dapat melukai Abu Jahal, tetapi anak Abu Jahal segera datang membantu
ayahnya, sehingga tangan Mu’az kena mata pedang hampir putus, tergantung
di bahunya. Dengan segera Mu’az memutuskan tangannya yang
tergantung-gantung itu, lalu tampil menyerang Abu Jahal. Abu Jahal
terbanting jatuh, segera ditikam oleh seorang pemuda Ansar, iaitu Bin
Affa sehingga Abu Jahal tewas seketika itu juga berlumuran darah bersama
kudanya. Kepala Abu Jahal yang telah bercerai dengan badannya, dibawa
Ibnu Mas’ud ke hadapan Nabi.
Melihat
panglima tertingginya sudah tewas, maka barisan musuh mulai kucar kacir,
lari tunggang-langgang dikejar orang Islam dari belakang. Mereka
meninggalkan tujuh puluh mayat dimedan perang, yang umumnya terdiri dari
pemuka-pemuka mereka dan tujuh puluh orang lagi menjadi tawanan perang.
Sedang dipihak ummat Islam hanya empat belas orang yang mati syahid dan
tidak seorang juga yang menyerah kepada musuh.
Di antara
tokoh-tokoh yang berkaliber besar dari kaum Musyrikin Quraisy yang tewas
itu antara lain Abu Jahal bin Hisyam (panglimanya), ‘Utbah bin Rabi’ah,
Syaibah bin Rabi’ah, Umaiyah bin Salt. Semua mayat musuh itu dimasukkan
ke dalam sebuah lubang, lalu ditimbuni dengan tanah. Rasulullah lalu
berdiri di tempat itu dan berkata:
Hai
Ahli Lubang, hai Abu Jahal bin Hisyam, hai ‘Utbah bin Rabi’ah, hai
Syaibah bin Rabi’ah, hai Umaiyah bin Salt, apakah kamu sudah memperoleh
apa-apa yang dijanjikan Tuhan kamu kepada kamu sekalian? Kami sudah
memperolehi apa yang pernah dijanjikan Allah kepada kami.
Mendengar itu para sahabat bertanya kepada Rasulullah:
Ya
Rasulu’llah, apakah engkau menyeru orang-orang yang sudah menjadi
bangkai?” Rasulullah menjawab: “Mereka lebih mendengar daripada kamu
akan apa-apa yang saya ucapkan itu, hanya mereka tidak dapat
menjawabnya.
Perang
inilah yang dinamai perang Badar Kubra, terjadi pada tujuh belas
Ramadhan tahun kedua Hijrah. Kemudian ternyata, bahawa Allah telah
mengirimkan pertolonganNya kepada ummat Islam dalam perang itu. Bukan
saja pertolongan yang berupakan angin dan debu, tetapi pula beberapa
Malaikat, sebagai ternyata dalam wahyu Allah yang datang kemudian.
TAWANAN PERANG
Terhadap
para tawanan itu berbagai-bagai usul yang masuk. Umar Ibnul-Khattab
mengusulkan agar mereka dibunuh semuanya, seimbang dengan kekejaman
mereka terhadap orang-orang Islam. Tetapi Abu Bakar mengusulkan agar
tawanan-tawanan yang kaya, diwajibkan menebus dirinya masing-masing
dengan wang yang banyak, lalu dilepaskan dan yang miskin dan tak
berbahaya, dilepaskan saja tanpa tebusan. Dengan wahyu Allah, Nabi
menjalankan usul Abu Bakar, menolak usul Umar. Para tawanan yang
mempunyai kepandaian menulis, dapat menebus dirinya dengan kepandaiannya
itu.
Dengan jalan
begitu, perlakuan terhadap tawanan memang diatur Nabi sebaik mungkin.
Hal inilah yang menyebabkan kemenangan yang berterusan untuk kaum
Muslimin disamping dengan pertolongan dari Allah. Salah seorang yang
membayar tebusan yang agak besar sekali ialah Abbas iaitu bapa saudara
Nabi sendiri.
PERKHABARAN SAMPAI KE MAKKAH
Di Makkah
kaum Quraisy menunggu perkhabaran tetapi setelah tiba ternyata kekalahan
dipihak mereka dimana banyak yang mati dan tertawan. Dari tentera yang
pulang itu mereka ketahui jalan peperangan, budak suruhan Abbas yang
bernama Abu Rafi dengan keras berkata: Demi Allah. Tentu saja
Malaikatlah yang menolong tentera Islam!
Mendengar
perkataan itu bukan main marah lagi Abu Lahab, walaupun masih lagi dalam
kesakitan dipukulnya Abu Rafi setengah mati. Kejadian itu dilihat oleh
isteri Abbas, dia amat marah diambilnya lembing lalu ditikamnya Abu
Lahab, parah dibuatnya. Dengan keaadan yang luka parah dan malu Abu
Lahab pulang kerumah, sakitnya semakin tenat setelah tujuh hari dia pun
mati. Makkah berada dalam kesedihan atas kekalahan yang dialami tentera
mereka.